DUNGUN: Persediaan awal oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membuat rangkaian hubungan dengan penduduk di lokasi berisiko banjir di sini memudahkan gerak kerja penyelamatan mangsa dalam Op MURNI yang dilakukan ketumbukan itu.

Ketua Kompeni Batalion Kelapan Belas Rejimen Askar Melayu Diraja (Para), Mejar Mohd Amir Mohd Alid berkata, pasukannya yang bertanggungjawab menjaga sektor Dungun telah membuat tinjauan di daerah itu lebih awal sebelum ia dilanda banjir awal pagi kelmarin.

"Ketika tinjauan berkenaan kami sudah tinggalkan nombor telefon kepada penduduk kampung untuk mereka hubungi kami sekiranya air naik dan perlukan kerja penyelamatan.

Sebab itu, untuk banjir kali ini Ketua Kampung Tok Kah telah maklumkan kepada kami pada kira-kira pukul 11 malam ketika air naik. Kami ketika itu yang seharusnya ke Paka, terus datang ke sini dari kem kami di Kuala Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai menjalankan kerja pembersihan di kediaman mangsa banjir di Kampung Tok Kah, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, sebagai responden pertama operasi berkenaan, pihaknya sentiasa bersedia 24 jam dan mengikuti rapat penilaian aras sungai oleh pegawai bertugas di Bilik Bencana Gerakan Negeri (BBGN) ATM.

"Kalau sudah melepasi paras bahaya atau waspada, kami akan bersedia di kem... dan akan bekerjasama dengan Pejabat Daerah dan Tanah Dungun yang pantau kawasan menerusi kamera litar tertutup (CCTV)," katanya sambil menambah pasukannya terdiri daripada tiga pegawai dan 24 anggota lain-lain pangkat.

Selain Kampung Tok Kah, pasukan kendalian Mohd Amir turut memfokus di Sura dan Paka dalam Daerah Dungun sejak Sabtu lepas.

Menurut data oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT), seramai 48 orang penduduk Kampung Tok Kah masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Tok Kah, di sini, setakat pukul 4 petang tadi.

Keseluruhannya, data JPBNT juga menunjukkan bilangan mangsa banjir di Terengganu semakin berkurangan kepada 1,302 orang daripada 296 keluarga berbanding 1,427 mangsa daripada 330 keluarga pada pukul 2 petang tadi yang kini masih berteduh 20 buah PPS. - BERNAMA